Lagenda Pertarungan Dato' Meor Abdul Rahman VS Bruce Lee ( Video ).

 

Pada tahun 1973, Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman telah keluar negara untuk melawat saudaranya yang menetap di England. Pemergian beliau ditemani oleh Dato' Syed Ahmad Jamalullail, seorang saudaranya. Dalam perjalanan pulang ke tanahair, pesawat yang mereka naiki telah singgah sebentar di lapangan terbang di Hong Kong.

Ketika menunggu penerbangan berikutnya, beliau telah disapa oleh Bruce Lee, pakar Kung Fu dan seni beladiri Jeet Kune Do. Bruce Lee telah mendapat tahu bahawa Mahaguru Silat Seni Gayong, Meor Abdul Rahman telah berada di Hong Kong.


Setelah memperkenalkan dirinya sebagai Bruce Lee, si Raja Kung Fu, Bruce Lee telah mencabar Dato' Meor Abdul Rahman agar bertarung dengannya. Beliau ingin melihat sejauh mana hebatnya seni mempertahankan diri milik orang Melayu yang dinamakan silat itu. Bruce Lee dengan angkuhnya berkata jika Meor Abdul Rahman menang dalam pertarungan itu, silat Meor Abdul Rahman adalah yang terbaik, TETAPI jika Bruce Lee pula yang memenangi perlawanan itu, Seni Jeet Kune Do ciptaannya adalah yang terbaik di dunia. 

Kehebatan Dato' Meor Abdul Rahman rupa-rupanya telah sampai ke pengetahuan Bruce Lee. Sebelum daripada itu, pada tahun 1972, serombongan pakar-pakar Kung Fu Hong Kong telah datang ke Malaysia untuk mencari tokoh-tokoh seni beladiri yang dapat bertarung dengan Bruce Lee. Rombongan pakar Kung Fu ini telah berjumpa dengan Dato' Meor Abdul Rahman di Taiping. Dalam pertemuan tersebut, mereka telah mencabar Dato' Meor Abdul Rahman untuk menunjukkan kebolehan beliau. Dato' Meor Abdul Rahman telah menangkap serta mengunci kesemua enam orang ahli-ahli Kung Fu tersebut. Kemudian, Dato' Meor telah menyuruh ahli-ahli Kung Fu tersebut bertemu dengan murid kanannya pula iaitu Cikgu Ahmad bin Lazim.

Memandangkan Bruce Lee masih muda dan mentah, Dato' Meor Abdul Rahman telah menasihati Bruce Lee agar melupakan sahaja niatnya hendak mencuba beliau. Namun, Bruce Lee tetap berdegil juga. Oleh kerana Bruce Lee terus mendesak, maka Dato' Meor Abdul Rahman akhirnya menyahut juga cabaran daripada Bruce Lee tersebut. 

Untuk mengelakkan keadaan daripada menjadi gempar, Bruce Lee dan Dato' Meor Abdul Rahman dengan ditemani oleh beberapa orang menuju masuk ke dalam bilik tetamu di lapangan terbang tersebut. Sebaik sahaja melihat Dato' Meor Abdul Rahman telah bersedia, Bruce Lee pun dengan kepantasan serangan kakinya pun mula mengasak. Setelah beberapa serangan berjaya dielak, akhirnya Dato' Meor Abdul Rahman tiada pilihan lain melainkan bertindak balas dengan melepaskan satu pukulan tangan(Kipas Nandung) yang tepat mengenai rusuk Bruce Lee.

 Pukulan tangan Dato' Meor Abdul Rahman yang nyata berbisa telah menyebabkan Bruce Lee jatuh tersungkur dan menggelupur kesakitan. Kerana belas kasihan ke atas Bruce Lee, Dato' Meor Abdul Rahman pun menawarkan bisa pukulannya ke atas Bruce Lee menggunakan air yang didoakan dan disapu ke kawasan sakit tersebut. Setelah Bruce Lee pulih daripada kesan pukulan Dato' Meor Abdul Rahman tersebut, akhirnya Bruce Lee dengan rendah diri, mengakui kehebatan Dato' Meor Abdul Rahman dan ilmu silat yang dimilikinya. 

Tidak lama selepas peristiwa pertarungan Bruce Lee dengan Dato' Meor Abdul Rahman ini, Bruce Lee dilaporkan telah meninggal dunia di Hong Kong akibat penyakit misteri.(Menurut Daniel Inosanto, murid kanan Bruce Lee, di hari-hari terakhir Bruce Lee sebelum beliau ditemui mati, Bruce Lee giat mengkaji tentang Seni Silat Melayu. Kini tugas Bruce Lee disambung oleh Daniel Inosanto, sebagai satu-satunya pewaris JKD yang ditauliahkan oleh Bruce Lee. Daniel Inosanto telah memasukkan Silat sebagai sebahagian daripada mata pelajaran Jeet Kune Do nya.)


VERSI KEDUA

Di Lapangan Terbang Kai Tak Hong Kong, ketika Dato' Meor Abdul Rahman sedang menunggu penerbangan yang berikutnya, beliau dan Syed Ahmad telah memasuki sebuah restoran yang terletak di dalam kawasan lapangan terbang. Ketika sedang menunggu pesanan tiba, Dato' Meor Abdul Rahman telah terlihat kelibat aktor Bruce Lee sedang dikerumuni oleh peminat-peminatnya di pintu masuk restoran tersebut. Bruce Lee ketika itu ditemani oleh beberapa orang pengawal peribadinya.

 Dato' Meor Abdul Rahman telah menyuruh Syed Ahmad supaya memanggil Bruce Lee supaya bertemu dengannya. Sebaik sahaja Bruce Lee mengetahui bahawa seorang Raja Silat Melayu ingin menemuinya, maka Bruce Lee pun terus bergegas menuju ke meja di mana Dato' Meor Abdul Rahman berada. Setelah memperkenalkan dirinya sebagai Bruce Lee, si Raja Kung Fu, Bruce Lee yang sememangnya sangat-sangat berhajat ingin bersemuka dengan pakar silat seperti Dato' Meor Abdul Rahman, telah meminta Dato' Meor Abdul Rahman menunjukkan kebolehannya dalam ilmu kebatinan Silat Melayu. 

Setelah didesak berkali-kali, akhirnya Dato' Meor Abdul Rahman pun bersetuju dengan permintaan Bruce Lee tersebut. Sambil duduk berhadap-hadapan, Dato' Meor Abdul Rahman lalu melepaskan suatu pukulan tangan yang dikenali sebagai "Kipas Senandung Dalam Senandung". Pukulan Dato' Meor Abdul Rahman ini telah mengenai tepat ke rusuk Bruce Lee, sehingga menyebabkan Bruce Lee terpelanting jauh ke belakang, bersama-sama dengan kerusi yang didudukinya. 

Ekoran daripada kesan pukulan Dato' Meor Abdul Rahman tersebut, kawasan di sekitar rusuk Bruce Lee lama-kelamaan telah menjadi bengkak(sehingga membawa maut kemudiannya).

Sebenarnya, sepanjang Dato' Meor Abdul Rahman mengembangkan Silat Seni Gayong, beliau telah banyak kali dicuba oleh pakar-pakar seni bela diri, sama ada dari luar negeri mahu pun pakar seni bela diri tempatan.

 Pada pertengahan tahun 1950-an, Dato' Meor Abdul Rahman pernah menumpaskan seorang ahli gusti berbangsa Eropah yang mempunyai saiz badan dua kali ganda berbanding beliau di Singapura. Ahli gusti yang mempunyai berat badan 380 lb itu dikenali dengan nama King Kong dan merupakan seorang juara gusti dunia yang tidak pernah kalah pada zamannya. King Kong juga merupakan seorang ahli gusti yang gemar melanggar peraturan gusti.

Dato' Meor Abdul Rahman juga pernah dicuba oleh pakar seni beladiri Jepun yang berbangsa Eropah seperti Donn F. Draeger(1970-an), Ricky "the Dragon" Steamboat(ahli gusti) dan Jan de Jong(1980-an). Dato' Meor Abdul Rahman, walaupun telah berusia ketika itu, hanya menggunakan sedikit sahaja daripada kudratnya untuk menumpaskan jaguh-jaguh seni bela diri asing tersebut. 

Jan de Jong akhirnya akur dengan kehebatan Dato' Meor Abdul Rahman dan akhirnya meminta untuk berguru dengan beliau. Disebabkan Silat Seni Gayong tidak boleh diturunkan kepada mereka yang bukan beragama Islam, maka Jan de Jong hanya diajar aspek fizikal Silat Seni Gayong, iaitu lebih berupa beberapa petua tentang penangkap di dalam Silat Seni Gayong, serta beberapa teknik serangan dan belaan menggunakan senjata simbat(kayu pendek). Lagipun, Jan de Jong adalah seorang pakar Jujitsu, iaitu beliau sangat gemarkan teknik kuncian dan jatuhan. 

Ketika berada di Soho, England pada tahun 1973, Dato' Meor Abdul Rahman pernah ditarik oleh samseng Cina. Ketika itu bersama-sama beliau ialah Syed Ahmad Jamalullail. Dato' Meor Abdul Rahman telah bertarung dengan samseng-samseng Cina tersebut dan berjaya menumpaskan samseng-samseng Cina tersebut. 

Ketika melawat Osaka, Jepun pada tahun 1970, Dato' Meor Abdul Rahman pernah mencuba ilmunya pada samurai Jepun. Samurai Jepun tersebut telah diberikan penimbul oleh Dato' Meor Abdul Rahman sehinggakan Samurai tersebut kehairanan melihatkan kulitnya yang tidak melecur apabila dicurahkan air panas yang baru mendidih.


 
PERINGATAN

Kami tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Komenlah dengan berhemah kerana ia menampakkan keperibadian anda.

0 comments