Puncak Adam, berketinggian 2,243 meter (7,359 kaki) dan terletak di tengah-tengah pulau Sri Lanka. Ia juga turut dikenali sebagai Sri Pada "tapak kaki suci", dimana ia merujuk kepada kewujudan sebuah batu yang mempunyai lekuk seperti kesan tapak kaki sepanjang 1.8 meter diatas puncak gunung.
Dengan tapak kaki sepanjang 1.8 meter, dikatakan tinggi yang dimiliki oleh pemiliknya mampu mencapai sehingga 13 meter!
Dalam fahaman penganut Buddha, kesan tapak kaki itu dianggap sebagai tapak kaki Buddha, manakala dalam tradisi Hindu ia dianggap sebagai kesan tapak kaki dewa Shiva dan bagi penganut Muslim, serta sesetengah penganut Yahudi dan Kristian ia dianggap sebagai kesan tapak kaki Nabi Adam a.s. ketika mula-mula baginda diturunkan ke bumi atas perintah Allah.
4 versi cerita berbeza:
1- Hindu, nama gunung tersebut Sivan Adi Padham, itu nama tarian indah dari Dewa Siwa yang meninggalkan jejak kaki raksasa (panjang 1.73 meter , lebar 0.79 meter).
2- Buddha, jejak itu ditinggalkan oleh Sang Buddha saat kedatangan ketiga yang menjadi legenda dan terakhir kali ke Sri Lanka. Jejak sebenarnya terpatri pada sebuah batu safir yang lebih besar dibawah tanda jejak yang ada saat ini.
3- Kristian, ketika Kristian Portugis datang ke pulau ini di abad ke-16 mereka meyakini kesan tersebut sebagai tapak kaki Saint Thomas, yang menurut legenda adalah orang pertama yang membawa agama Kristian masuk ke Sri Lanka.
4- Islam, itu adalah jejak Nabi Adam (AS) di mana ia berdiri dengan satu kaki selama seribu tahun untuk penebusan dosa . Ketika Nabi Adam (AS) diusir dari syurga, Allah SWT menempatkan dia di puncak gunung untuk mengurangkan rasa terkejutnya akan dunia (bumi) . Puncak ini menjadi tempat di bumi yang paling mirip seperti syurga.
Kebenarannya? Wallahualam.
Pada tahun 1973, Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman telah keluar negara untuk melawat saudaranya yang menetap di England. Pemergian beliau ditemani oleh Dato' Syed Ahmad Jamalullail, seorang saudaranya. Dalam perjalanan pulang ke tanahair, pesawat yang mereka naiki telah singgah sebentar di lapangan terbang di Hong Kong.
Ketika menunggu penerbangan berikutnya, beliau telah disapa oleh Bruce Lee, pakar Kung Fu dan seni beladiri Jeet Kune Do. Bruce Lee telah mendapat tahu bahawa Mahaguru Silat Seni Gayong, Meor Abdul Rahman telah berada di Hong Kong.
Setelah memperkenalkan dirinya sebagai Bruce Lee, si Raja Kung Fu, Bruce Lee telah mencabar Dato' Meor Abdul Rahman agar bertarung dengannya. Beliau ingin melihat sejauh mana hebatnya seni mempertahankan diri milik orang Melayu yang dinamakan silat itu. Bruce Lee dengan angkuhnya berkata jika Meor Abdul Rahman menang dalam pertarungan itu, silat Meor Abdul Rahman adalah yang terbaik, TETAPI jika Bruce Lee pula yang memenangi perlawanan itu, Seni Jeet Kune Do ciptaannya adalah yang terbaik di dunia.
Kehebatan Dato' Meor Abdul Rahman rupa-rupanya telah sampai ke pengetahuan Bruce Lee. Sebelum daripada itu, pada tahun 1972, serombongan pakar-pakar Kung Fu Hong Kong telah datang ke Malaysia untuk mencari tokoh-tokoh seni beladiri yang dapat bertarung dengan Bruce Lee. Rombongan pakar Kung Fu ini telah berjumpa dengan Dato' Meor Abdul Rahman di Taiping. Dalam pertemuan tersebut, mereka telah mencabar Dato' Meor Abdul Rahman untuk menunjukkan kebolehan beliau. Dato' Meor Abdul Rahman telah menangkap serta mengunci kesemua enam orang ahli-ahli Kung Fu tersebut. Kemudian, Dato' Meor telah menyuruh ahli-ahli Kung Fu tersebut bertemu dengan murid kanannya pula iaitu Cikgu Ahmad bin Lazim.
Memandangkan Bruce Lee masih muda dan mentah, Dato' Meor Abdul Rahman telah menasihati Bruce Lee agar melupakan sahaja niatnya hendak mencuba beliau. Namun, Bruce Lee tetap berdegil juga. Oleh kerana Bruce Lee terus mendesak, maka Dato' Meor Abdul Rahman akhirnya menyahut juga cabaran daripada Bruce Lee tersebut.
Untuk mengelakkan keadaan daripada menjadi gempar, Bruce Lee dan Dato' Meor Abdul Rahman dengan ditemani oleh beberapa orang menuju masuk ke dalam bilik tetamu di lapangan terbang tersebut. Sebaik sahaja melihat Dato' Meor Abdul Rahman telah bersedia, Bruce Lee pun dengan kepantasan serangan kakinya pun mula mengasak. Setelah beberapa serangan berjaya dielak, akhirnya Dato' Meor Abdul Rahman tiada pilihan lain melainkan bertindak balas dengan melepaskan satu pukulan tangan(Kipas Nandung) yang tepat mengenai rusuk Bruce Lee.
Pukulan tangan Dato' Meor Abdul Rahman yang nyata berbisa telah menyebabkan Bruce Lee jatuh tersungkur dan menggelupur kesakitan. Kerana belas kasihan ke atas Bruce Lee, Dato' Meor Abdul Rahman pun menawarkan bisa pukulannya ke atas Bruce Lee menggunakan air yang didoakan dan disapu ke kawasan sakit tersebut. Setelah Bruce Lee pulih daripada kesan pukulan Dato' Meor Abdul Rahman tersebut, akhirnya Bruce Lee dengan rendah diri, mengakui kehebatan Dato' Meor Abdul Rahman dan ilmu silat yang dimilikinya.
Tidak lama selepas peristiwa pertarungan Bruce Lee dengan Dato' Meor Abdul Rahman ini, Bruce Lee dilaporkan telah meninggal dunia di Hong Kong akibat penyakit misteri.(Menurut Daniel Inosanto, murid kanan Bruce Lee, di hari-hari terakhir Bruce Lee sebelum beliau ditemui mati, Bruce Lee giat mengkaji tentang Seni Silat Melayu. Kini tugas Bruce Lee disambung oleh Daniel Inosanto, sebagai satu-satunya pewaris JKD yang ditauliahkan oleh Bruce Lee. Daniel Inosanto telah memasukkan Silat sebagai sebahagian daripada mata pelajaran Jeet Kune Do nya.)
VERSI KEDUA
Di Lapangan Terbang Kai Tak Hong Kong, ketika Dato' Meor Abdul Rahman sedang menunggu penerbangan yang berikutnya, beliau dan Syed Ahmad telah memasuki sebuah restoran yang terletak di dalam kawasan lapangan terbang. Ketika sedang menunggu pesanan tiba, Dato' Meor Abdul Rahman telah terlihat kelibat aktor Bruce Lee sedang dikerumuni oleh peminat-peminatnya di pintu masuk restoran tersebut. Bruce Lee ketika itu ditemani oleh beberapa orang pengawal peribadinya.
Dato' Meor Abdul Rahman telah menyuruh Syed Ahmad supaya memanggil Bruce Lee supaya bertemu dengannya. Sebaik sahaja Bruce Lee mengetahui bahawa seorang Raja Silat Melayu ingin menemuinya, maka Bruce Lee pun terus bergegas menuju ke meja di mana Dato' Meor Abdul Rahman berada. Setelah memperkenalkan dirinya sebagai Bruce Lee, si Raja Kung Fu, Bruce Lee yang sememangnya sangat-sangat berhajat ingin bersemuka dengan pakar silat seperti Dato' Meor Abdul Rahman, telah meminta Dato' Meor Abdul Rahman menunjukkan kebolehannya dalam ilmu kebatinan Silat Melayu.
Setelah didesak berkali-kali, akhirnya Dato' Meor Abdul Rahman pun bersetuju dengan permintaan Bruce Lee tersebut. Sambil duduk berhadap-hadapan, Dato' Meor Abdul Rahman lalu melepaskan suatu pukulan tangan yang dikenali sebagai "Kipas Senandung Dalam Senandung". Pukulan Dato' Meor Abdul Rahman ini telah mengenai tepat ke rusuk Bruce Lee, sehingga menyebabkan Bruce Lee terpelanting jauh ke belakang, bersama-sama dengan kerusi yang didudukinya.
Ekoran daripada kesan pukulan Dato' Meor Abdul Rahman tersebut, kawasan di sekitar rusuk Bruce Lee lama-kelamaan telah menjadi bengkak(sehingga membawa maut kemudiannya).
Sebenarnya, sepanjang Dato' Meor Abdul Rahman mengembangkan Silat Seni Gayong, beliau telah banyak kali dicuba oleh pakar-pakar seni bela diri, sama ada dari luar negeri mahu pun pakar seni bela diri tempatan.
Pada pertengahan tahun 1950-an, Dato' Meor Abdul Rahman pernah menumpaskan seorang ahli gusti berbangsa Eropah yang mempunyai saiz badan dua kali ganda berbanding beliau di Singapura. Ahli gusti yang mempunyai berat badan 380 lb itu dikenali dengan nama King Kong dan merupakan seorang juara gusti dunia yang tidak pernah kalah pada zamannya. King Kong juga merupakan seorang ahli gusti yang gemar melanggar peraturan gusti.
Dato' Meor Abdul Rahman juga pernah dicuba oleh pakar seni beladiri Jepun yang berbangsa Eropah seperti Donn F. Draeger(1970-an), Ricky "the Dragon" Steamboat(ahli gusti) dan Jan de Jong(1980-an). Dato' Meor Abdul Rahman, walaupun telah berusia ketika itu, hanya menggunakan sedikit sahaja daripada kudratnya untuk menumpaskan jaguh-jaguh seni bela diri asing tersebut.
Jan de Jong akhirnya akur dengan kehebatan Dato' Meor Abdul Rahman dan akhirnya meminta untuk berguru dengan beliau. Disebabkan Silat Seni Gayong tidak boleh diturunkan kepada mereka yang bukan beragama Islam, maka Jan de Jong hanya diajar aspek fizikal Silat Seni Gayong, iaitu lebih berupa beberapa petua tentang penangkap di dalam Silat Seni Gayong, serta beberapa teknik serangan dan belaan menggunakan senjata simbat(kayu pendek). Lagipun, Jan de Jong adalah seorang pakar Jujitsu, iaitu beliau sangat gemarkan teknik kuncian dan jatuhan.
Ketika berada di Soho, England pada tahun 1973, Dato' Meor Abdul Rahman pernah ditarik oleh samseng Cina. Ketika itu bersama-sama beliau ialah Syed Ahmad Jamalullail. Dato' Meor Abdul Rahman telah bertarung dengan samseng-samseng Cina tersebut dan berjaya menumpaskan samseng-samseng Cina tersebut.
Ketika melawat Osaka, Jepun pada tahun 1970, Dato' Meor Abdul Rahman pernah mencuba ilmunya pada samurai Jepun. Samurai Jepun tersebut telah diberikan penimbul oleh Dato' Meor Abdul Rahman sehinggakan Samurai tersebut kehairanan melihatkan kulitnya yang tidak melecur apabila dicurahkan air panas yang baru mendidih.
Allahyarham Mokhtar Dahari yang masih dikenang sehingga ke hari ini walaupun hayatnya sudah bersemadi hampir 15 tahun lalu.
Biarpun ramai generasi muda masa kini tidak mengenali dengan dekat bintang negara itu, tapi hampir semua pasti pernah mendengar namanya - pemain dengan bakat semulajadi yang mengangkat imej Malaysia setaraf dengan jaguh bola sepak dunia. Paling ketara Pestabola Merdeka yang menjadi gelanggang dia mempamer taring dan kehebatannya.
Pada usia 23 tahun, Mokhtar atau lebih terkenal dengan jolokan SuperMokh diiktiraf Majalah World Star Soccer sebagai penyerang terbaik Asia dan ketika itu jugalah dia dinobatkan Olahragawan Kebangsaan 1976.
Kelebihan dimiliki ?upermokh? banyak dengan sepakan deras bak peluru menjadi elemen penting hinggakan tiga jari mendiang R Arumungam, bekas penjaga gol negara pernah patah ketika cuba menampannya. Itu belum dikira bijaknya penyerang ternama negara itu membaca gerakan lawan dan meloloskan diri.
Dengan 167 kaps antarabangsa, dia berjaya meletakkan Malaysia di kedudukan tertinggi pentas bola sepak Asia seterusnya mampu membuka mata dunia hingga kuasa bola sepak dunia. Skuad England B bimbingan Bobby Robson turut merasa bahangnya selepas diikat skuad negara 1-1 hasil jaringan menakjubkan Mokhtar.
Walaupun kelibat pemain istimewa seperti Mokhtar yang tiada galang gantinya sehingga kini sudah lama meninggalkan kita, bayangan kehebatannya tidak pernah padam apatah lagi apabila mengingati susah payah anak kelahiran Setapak, Kuala Lumpur itu mencipta nama walaupun dia memang sudah memiliki kurniaan yang tiada pada orang lain.
Mokhtar sangat gigih ketika latihan, sejak di bangku sekolah lagi dia yang menuntut di Victoria Institution tidak pernah jemu berlatih sehingga namanya sudah sebati dengan di skuad kebangsaan pun dia masih sama apabila terus mengawal bola sambil menggelecek tiang-tiang kecil sebelum melepaskan tendangan kencang ke gawang yang kosong untuk menajamkan kuasa pemusnah yang ada pada dirinya.
Malah dia tidak suka diganggu ketika latihan apatah lagi mengaitkan kemasyhuran dirinya di padang dengan kehidupan peribadi hingga menjadikan dia idola paling diminati.
Apapun kehilangan permata paling berharga bola sepak negara itu tidak seharusnya ditangisi sampai bila-bila dan generasi sekarang sepatutnya cuba menjadikannya sebagai motivasi meningkatkan diri supaya bola sepak negara kembali segar seperti sebelumnya.
Sejarah hidup Mokhtar Dahari.
1971: Mewakili Selangor dalam Pertandingan Piala Burnley (sekarang Piala Razak), di Kuching, Sarawak. Perlawanan pertama menentang Kedah dan menjaringkan gol pertamanya pada perlawanan itu.
1972: Kali pertama turun mewakili pasukan utama Selangor menentang Kelab Hitachi dari Jepun dan perlawanan akhir pertama Piala Malaysia ialah ketika Selangor menewaskan Perak 3-0 dengan Mokhtar menjaringkan satu gol. Mula mewakili Malaysia di Kejohanan Belia Asia, di Bangkok.
- Kali pertama terpilih mewakili pasukan utama Malaysia ke Kejohanan Piala Jakartaraya. Perlawanan pertama menentang Sri Lanka.
1973: Mewakili Malaysia ke pra Piala Dunia di Seoul. Kali pertama beraksi di Pestabola Merdeka menentang Kuwait pada perlawanan akhir. Malaysia menang 3-1 dan Mokhtar jaringkan dua gol.
1974: Mencipta gol terbanyak dalam satu perlawanan antarabangsa apabila menjaringkan lima gol ketika menentang Filipina di Sukan Asia Teheran.
1975: Mewakili negara menentang Arsenal. Malaysia menang 2-0. Mokhtar menjaringkan kedua-dua gol itu.
1976: Mendapat kaps Malaysia ke-100 ketika menentang Jepun di Pestabola Merdeka.
1977: Mendapat Anugerah Olahragawan Kebangsaan 1976.
1980: Kembali beraksi di Pestabola Merdeka dan membawa negara muncul naib juara selepas tewas kepada Maghribi di final. Membawa negara meraih pingat emas Sukan Sea pertama apabila menewaskan Thailand 2-0 pada perlawanan akhir. Mokhtar menjaringkan 1 gol.
1978: Menjaringkan gol penyamaan ketika menentang England `B'. Perlawanan berkesudahan seri 1-1.
1979: Kali pertama dipilih menjadi ketua pasukan Piala Malaysia Selangor (menentang Tentera) apabila Soh Chin Aun enggan meneruskan tugas itu. Mengakhiri zaman bujang selepas berkahwin dengan Tengku Zarina Tengku Ibrahim. Mempertahankan pingat emas Sukan SEA dengan mengalahkan Indonesia 1-0 menerusi jaringan gol tunggal. - Mengumumkan persaraan arena bola sepak antarabangsa.
1981: Menerima kad merah pertama dan terakhir dalam kariernya ketika menentang Singapura (Piala Malaysia). Pengadil `bersejarah' itu ialah Othman Omar. Mewakili negara ke pra Piala Dunia di Kuwait. Malaysia dikecam kerana gagal. Mokhtar mengumumkan persaraannya bagi kali kedua.
1982: Mengetuai Pilihan Selangor menentang Boca Juniors yang diketuai Diego Maradona.
1985: Kembali menyarung jersi negara ke pertandingan pra Piala Dunia di Seoul menentang Korea Selatan. Malaysia tewas 0-2 dan Mokhtar mengumumkan persaraannya bagi kali ketiga dan terakhir.
1986: Memimpin Selangor menjadi juara Piala Malaysia dan muncul sebagai `Pemain Terbaik Perlawanan Akhir'. Mengumumkan persaraan peringkat negeri dan menghadiahkan jersi `keramat' nombor 10 kepada Raja Muda Selangor.
1987: Menarik balik persaraannya untuk mewakili Selangor semusim lagi.
1988: Menyertai Kwong Yik Bank dan membawa kelab itu menjadi juara Liga Selangor. Khabar angin bertiup Mokhtar mengidap penyakit ganjil.
1989: Disahkan mengidap penyakit Mascular Dystrophy. - berlepas ke London untuk mendapat rawatan lanjut. Pulang ke tanah air tanpa sebarang perubahan.
1990: Keadaan Mokhtar semakin buruk.
1991: Meninggal dunia di Pusat Perubatan Subang pada Khamis, 11 Julai jam 8.25 pagi
Merujuk naskah " Asal - usul negeri-negeri di Malaysia" yang dihasilkan oleh Datuk Zakiah Hanum, mantan Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, berikut dikongsikan intipati dari naskah tersebut tentang asal-usul nama negeri di Malaysia.
1) JOHOR
Nama silam Johor adalah "Ujung Tanah", sementara R.O Winstead dalam penulisannya pernah merujuk negeri Johor dengan nama "Wurawari", ianya adalah istilah jawa yang bermaksud "Air Jernih". Antara nama lama yang merujuk kepada negeri johor ialah, "Hujung Medini"(disebut dalam syair jawa Nagara kretagama), Ganggayu (nama Johor sebelum 1450) dan Langyu. Namun nama negeri lebih kuat dipercayai berasal dari perkataan arab iaitu "Jauhar" yang membawa maksud "Permata".
2) KEDAH
Kedah mengikut catatan ramai sejarawan adalah negeri tertua di Tanah Melayu, ianya berdasarkan penemuan arkeologi tentang kewujudan penempatan serta aktiviti masyarakat Melayu Proto. Nama kedah mengikut rujukan catatan arab dan parsi ialah "Kilah", "Kalah" atau "Qalha". Dalam tulisan sanskrit Kedah dicatatkan sebagai "Kataha" atau "Kadara", sementara dalam naskah tamil ianya dikenali sebagai "Kadaram" atau "Kalaram".
Tetapi menurut Wilkinson, nama negeri ini berasal dari perkataan "Kheddah" yang membawa erti perangkap Gajah, tetapi ada juga yang mengatakan Kedah adalah bermaksud "Gelas berkaki" dalam bahasa arab, ianya bersempena dengan perniagaan pedagang arab yang menjual gelas berkaki pada masa itu.
3) KELANTAN
Mula muncul dalam catatan Ptolemy yang merujuk negeri ini sebagai Kalantan. Dikisahkan nama Kelantan diperkenalkan oleh orang India Utara, ianya berasal dari Bandar Koli, tempat kelahiran bonda kepada Gautama Buddha, nama Koli kemudian digabungkan dengan perkataan "Thana" yang bermaksuh Tanah, lalu jadilah "Kolithana" yang kemudiannya disebut oleh penduduk pada ketika itu sebagai "Kolamtanah" atau "Kolamtam" yang akhirnya menjadi Kelantan.
Catatan dalam ensiklopedia Ma Tuan-Lin ada menyebut tempat ini sebagai "Ko-lo". Dalam catatan China yang selainnya ada dikesan nama sepertu "Ho-lan-tan" atau "Kou-lo-tan". Sementara dalam peta De'eredia, wujud nama "Calantan Rio", sementara peta selainnya disebut "Calantan", "Calantam" dan "Calantao". Terdapat juga kisah bahawa nama Kelantan itu adalah bersempena dengan nama pokok "Gelam Hutan" yang tumbuh di pesisir pantai negeri Kelantan pada ketika itu.
4) MELAKA
Selain dari kisah Parameswara yang menyaksikan seekor pelanduk menendang anjing hingga jatuh ke sungai dan Pokok Melaka tempat beliau bersandar ketika itu, terdapat teori lain bagaimana Melaka mendapat namanya.
Dalam naskah lama "Sejarah Melayu" memang sudah disebut nama Melaka, ia mugkin dari istilah "Malakat" atau "Mulagah" yang digunakan oleh pedagang arab yang membawa maksud "pusat / tempat perdagangan ". Dalam bahasa sanskrit, Melaka mungkin dirujuk sebagai "Malayakolam" atau "Malayaka" yang membawa erti "negeri orang melayu".
5) NEGERI SEMBILAN
Nama negeri ini bersempena 9 negeri yang berada dibawah gabungannya, kawasan berkenaan ialah ;
1) Sungai Ujong
2) Naning
3) Rembau
4) Jelebu
5) Johol
6) Klang
7) Jelai
8) Ulu Pahang
9) Segamat
Negeri Sembilan kemudiannya menyerahkan Klang kepada Selangor, Ulu Pahang dan Jelai kepada Pahang dan Segamat kepada Johor. Rombakan kawasan kemudianya menyenaraikan 9 kawasan berikut sebagai negeri yang sembilan, iaitu:
1) Sungai Ujong
2) Rembau
3) Jelebu
4) Johol
5) Ulu Muar
6) Inas
7) Gunung Pasir
8) Terachi
9) Jempol
6) PAHANG
Nama klasik bagi negeri ini ialah Inderapura, nama Pahang telah ada sebelum adanya negeri Melaka, ianya dikenali sebagai Pahang Tua. Tiada kisah yang jelas bagaimana Pahang mendapat namanya, namun dalam bahasa Khmer, Pahang itu bermaksud "timah" yang mungkin juga ada kena mengena dengan Sungai Lembing yang terkenal dengan timah.
7) PERAK
Sepertimana Pahang, Perak juga mempunyai nama klasiknya yang tersendiri, iaitu Gangga Negara, pusat pemerintahan Gangga Negara ialah di Beruas. Menurut Hikayat Merong Mahawangsa, nama Perak diberi bersempena dengan anak panah bermata perak yang dilepaskan oleh anak Raja Merong Mahapodisat Kedah. Anak panah itu dilepaskan ke kawasan yang dihajati beliau untuk dijadikan sebuah negeri.
8) PERLIS
Perlis dahulunya dikenali sebagai "kayang" atau "kayangan", dan nama Perlis diberi bersempena dengan nama seorang tua yang dianggap mempunyai keramat, iaitu "Tok Perlis". Ada juga versi lain bagaimana Perlis mendapat nama,berkemungkinan ianya berasal dari perkataan siam "Phrau Loi" yang bermaksud kelapa hanyut, kelapa hanyut ini dikatakan banyak dijumpai oleh orang-orang siam yang menggunakan laluan kuala sungai Perlis untuk ke Kedah. Sebutan "Phrau Loi" ini bila disebut oleh masyarakat tempatan akhirnya menjadi "Perleh".
9) PULAU PINANG
Ianya berasal dari barisan pokok-pokok pinang di kawasan penempatan masyarakat asal melayu di kawasan pantai. Pulau Pinang pernah diberi nama "Prince of Wales" oleh Francis Light pada 11 Ogos 1786, tetapi mujur juga nama itu tidak lekat dan hanya wujud dalam catatan serta peta inggeris, tetapi tidak di bibir penduduk tempatan.
10) SABAH
Pernah dikenali dengan nama "Api-api", Sabah mendapat namanya daripada perkataan "Saba", iaitu sejenis pisang. Kebanyakkan penduduk asal menanam pisang ini di penempatan mereka di sekitar pantai untuk dijadikan sumber makanan.
11) SARAWAK
Tiada kisah yang cukup popular untuk dijadikan sandaran bagaimana Sarawak mendapat nama, mungkin juga bersempena dengan nama Sungai Sarawak. Terdapat sumber dikalangan penduduk tempatan yang mengkisahkan nama Sarawak berasal dari ungkapan " serah pada awak", iaitu apabila Pengiran Muda Hashim menyerahkan pentadbiran negeri itu kepada James Brooke pada tahun 1841.
12) SELANGOR
Tiada sumber jelas bagaimana Selangor mendapat namanya.
13) TERENGGANU
Dipercayai berasal dari cahaya kilat yang dilihat oleh penduduk Kelantan, lalu mereka berkata "terangnya genu" atau maksud lainnya "terang sampai ke sana". Terdapat juga kisah yang mengatakan nama Terengganu berasal dari kisah penemuan taring gajah di sebatang sungai di Pulau Duyong, dek kerana saiz taring yang besar serta belum pernah dilihat oleh penduduk tempatan, mereka merujuk taring itu sebagai "Taring anu", sungai dimana taring tersebut dijumpai juga dikenali sebagai "Sungai Taring Anu"